Friday Jul 25

Persamaan budaya Melayu-Siam




KEPADA seorang pesara guru, Eh Chot Cha Chan, 64, Kelantan adalah sebahagian daripada jiwanya. “Negeri ini adalah tanah tumpah darah kami,” katanya yang juga Pengerusi Persatuan Masyarakat Siam Kelantan sejak 17 tahun lalu.

Eh Chot ketika ditemui di rumahnya di Kampung Terbak, Tumpat, kira-kira 20 kilometer (km) dari bandar Kota Bharu, Kelantan menegaskan masyarakat Siam Kelantan tidak boleh diistilahkan sebagai pendatang. Ini kerana kewujudan mereka di negeri Cik Siti Wan Kembang dapat dikesan sejak ratusan tahun lamanya.

“Hampir kesemua masyarakat berketurunan Siam di Kelantan sudah mempunyai kad pengenalan dan jika ada yang tertinggal pun segelintir warga emas tetapi mereka memperoleh taraf penduduk tetap. “Kami hidup bersama orang Melayu dan suatu ketika dahulu sama-sama berganding bahu membanting tulang di sawah padi untuk kelangsungan hidup,” katanya.

Eh Chot yang berkain pelikat bersama isterinya, Kechan Ehla, 52, menyambut kedatangan penulis ke rumahnya dengan penuh mesra walaupun kesihatannya kurang mengizinkan.

Menceritakan tentang masyarakat Siam Kelantan, bapa kepada tiga anak itu memberitahu, budaya masyarakat Siam dan Melayu banyak persamaan. Antaranya termasuklah menghormati tetamu, amalan bergotong-royong dan tidak memakai kasut di dalam rumah. .

“Begitu jugalah dengan amalan memakai kain sarung dan pelikat yang sudah menjadi identiti masyarakat Siam sejak zaman berzaman,” kata Eh Chot.

Eh Chot adalah sebahagian daripada lebih 8,000 orang masyarakat Siam di daerah Tumpat yang mewakili majoriti terbesar daripada bilangan 15,000 komuniti Siam yang dicatatkan di seluruh negeri ini.


KEDIAMAN yang kemas dan bersih antara amalan yang dititikberatkan oleh komuniti Siam di Tumpat, Kelantan.


Beliau berkata, terdapat 30 buah perkampungan yang berdekatan dengan sempadan Malaysia-Thailand yang telah dibuka masyarakat Siam dengan 20 wat atau kuil besar menjadi pusat aktiviti mereka.

Menurutnya, masyarakat Siam menetap di Kelantan sejak lebih 600 tahun lalu. Fakta tersebut dibuktikan dengan penemuan imej Buddha lama di Wat Phikulthong Vararam dan tapak bangunan awal di Wat Chonprachumthatchanaran, Kg. Dalam, di Tumpat.

Kata Eh Chot, mereka hidup saling melengkapi dengan masyarakat Melayu dan tidak timbul isu terpaksa mengubah budaya bangsa sendiri.

“Memakai kain sarung bagi wanita atau kain pelikat bagi lelaki contohnya bukanlah sesuatu yang dilakukan kerana asimilasi atau adaptasi kepada budaya Melayu Kelantan. “Ia sudah menjadi tradisi masyarakat kami malah orang-orang Siam di Thailand juga mengamalkan perkara serupa,” katanya.

Menurutnya, sejarah penempatan orang Siam di Kelantan juga berkait rapat dengan sejarah negeri Kelantan sendiri. Paling mustahak katanya, kesan Perjanjian Bangkok 1909 yang telah memisahkan penduduk di bahagian utara negeri ini apabila Sungai Golok dijadikan sempadan antara wilayah yang dinaungi British dan Thailand.

Kesan perjanjian tersebut, Thailand atau kerajaan Siam ketika itu bersetuju menyerahkan naungannya ke atas Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis kepada British.

“Perjanjian Bangkok telah memisahkan penduduk berketurunan Siam dan Melayu daripada keluarga mereka yang tinggal di Patani, Yala dan Yaring.

“Penduduk berdekatan sempadan berpecah kepada dua kumpulan sama ada menjadi warga Kelantan ataupun rakyat negara Gajah Putih itu,” katanya.

Beliau menjelaskan, daripada dua penempatan besar di Tumpat dan Pasir Mas, masyarakat Siam berhijrah ke daerah-daerah lain di Kelantan seperti Bachok, Machang dan Pasir Puteh melalui penerokaan tanah baru untuk bercucuk tanam dan faktor perkahwinan.


PERAYAAN besar seperti Loy Krathong pada bulan April masih disambut dengan meriah hingga ke hari ini.


Sambutan perayaan

Eh Chot berkata, secara umum, pegangan agama Buddha dan adat resam seperti ritual perkahwinan, kesenian dan kebudayaan masih kekal dipertahankan termasuklah kepercayaan kepada bomoh.

Perayaan besar seperti Loy Krathong pada bulan April dan Songkhran pada bulan November masih disambut dengan meriah sehingga ke hari ini.

Di samping itu katanya, peranan wat sebagai pusat pembangunan dan pendidikan dalam komuniti menjadi asas penting pembangunan sahsiah masyarakat Siam.

“Penduduk memandang tinggi kepada institusi wat sebagai pusat pengajaran agama dan pendidikan moral yang dapat menjadi benteng gejala sosial.

“Anak-anak muda juga berpeluang untuk mempelajari bahasa ibunda di bawah pengurusan wat dalam kelas yang dibuka setiap hujung minggu.

“Dalam masa sama, jikapun ada kes penghakisan nilai tradisi yang didapati pada generasi muda Siam, ia adalah perkara biasa yang turut berlaku pada masyarakat lain akibat arus pemodenan,” katanya.

Tambahnya , seperti golongan belia Melayu di negeri ini, ramai anak muda Siam berhijrah untuk mencari pekerjaan di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Johor dan Singapura lantaran keterbatasan peluang di sini.

Sementara itu, pembantu kedai, Viphada Charun, 26, dari Kampung Gelam Kechik, Tumpat berkata, generasi baru sepertinya tidak pernah meminggirkan kebudayaan bangsa sendiri malah sentiasa memberi sokongan kepada sebarang aktiviti keseniaan yang dijalankan.

“Masih ramai lagi yang pandai menari tarian tradisional dan kami tidak ketinggalan mengikuti acara kebudayaan contohnya semasa Pesta Loy Krathong yang diadakan di Wat Phikulthong Vararam baru-baru ini,” katanya.

Pelajar tingkatan tiga, Phik Mon Eh Poh, 16, pula berkata, dia tidak pernah ralat jika disuruh ibunya mempersembahkan makanan kepada imej Buddha di wat kerana yakin itu adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya.

Setiap minggu pada hari tertentu yang telah ditetapkan dalam kalendar pihak wat, dia akan melunaskan tugasnya itu jika tidak bertembung dengan jadual persekolahan.

“Saya berasa bangga dan tidak malu dengan adat budaya bangsa saya dan bersyukur kerana ibu sentiasa mengajar saya tentang apa sepatutnya saya lakukan,” katanya. Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Profesor Dr. Teo Kok Seong berkata, secara umumnya, bilangan masyarakat Siam di Malaysia tidak ramai.

Bilangan kaum Siam yang sedikit tidak akan memberi pengaruh yang terlalu signifikan terhadap gaya hidup masyarakat setempat. Namun, beliau tidak menolak kewujudan elemen-elemen masyarakat jiran itu dalam aspek bahasa, makanan dan keagamaan masyarakat tempatan.

“Dialek Melayu Kelantan turut meminjam kata-kata daripada masyarakat Siam seperti ‘OK’ yang bermaksud tahan dan khong (bodoh) untuk diaplikasikan dalam penggunaan dialek harian,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.


KEMERIAHAN sambutan majlis perkahwinan masyarakat Siam yang masih diamalkan.


Dr. Teo yang juga merupakan Cina Peranakan dari Kelantan memberitahu, masyarakat Cina di negeri itu sangat memandang tinggi kepakaran kaum Siam dalam bidang keagamaan khasnya agama Buddha Siam.

Malah, kebanyakan masyarakat Cina tempatan juga terpaksa bergantung kepada golongan Siam di negeri itu untuk menjadi jurubahasa apabila mereka melawat Wat Siam yang terdapat di sekitar Kelantan.

Tempoh lama bermastautin di negara orang turut melihat golongan rakyat Siam mengalami sedikit proses modifikasi kehidupan.

“Masyarakat Siam turut terpengaruh dengan bahasa orang Melayu. Misalnya, beberapa perkataan Melayu seperti mata kucing turut diadaptasi dengan sebutan Ta Meiu padahal bahasa Siam untuk buah itu lain,” jelasnya sambil memberitahu, tumpuan bilangan masyarakat Siam ini lebih banyak tertumpu di negeri-negeri seperti Kelantan, Kedah, Perlis dan Perak.