Friday Mar 24

Dato Sawai

Wawancara bersama Dato Sawai, Pengarah, Special Project di Pusat Antarabangsa Kepimpinan Dalam Kewangan.

++++++++++++++++++++++++++++++

..latar belakang kita itu tidak penting. Andainya kita sanggup berusaha bersungguh-sungguh, kejayaan pasti akan menjadi milik kita....Satu lagi ialah keyakinan diri. Kita jangan mudah berputus asa. Ingatkan diri bahawa jika orang lain dan bangsa lain boleh mencapai kejayaan tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh mencapai kejayaan yang sama atau lebih cemerlang lagi.

WAWANCARA RUAM THAI bersama Dato’Sawai 

Sawaddee kha, dalam jangkasama 3 bulan warga RuamThai telah mengenali lebih dekat siapakah Na Siri Neng Buah, yang sangat kaya dengan ilmu kebudayaan dan sifat kwam-pen-thai. Sudah tentu sedikit sebanyak memberi inspirasi kepada phi2 nong2 kita untuk maju ke hadapan berdasarkan semangat dan teladan hidup beliau. Kini tiba masa pula kita mengenali siapakah Dato’ Sawai @ Boon Chock yang menjawat jawatan Pengarah, Special Project di ICLIF, Bank Negara. Walaupun membawa gelaran Dato’, Profesor Anjung di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan menjawat jawatan tinggi, namun beliau tidak pernah abaikan tanggungjawab dan ambil berat terhadap kemajuan pendidikan anak-anak dan kebahagiaan keluarga. Pati yang paling bermakna yang dipupuk oleh bapanya adalah kemajuan hidup hanya melalui pendidikan. Bagi mengenali beliau lebih mendalam ikuti wawancara bersama Pimon Patiang.
 

1. Sawaddee ka Dato’Sawai, izinkan saya guna gelaran Na Sawai ya..pertama kali sudah tentu saya ingin ketahui sedikit sebanyak latar belakang Na Sawai ka...dan asal usul Na ya. 

Sebelum saya menjawab soalan-soalan yang Mon ajukan, izinkan saya ucapkan ribuan terima kasih kerana memberi peluang kepada saya menyertai wawancara dalam web Ruam Thai ini.  Saya dilahirkan di Tanjung Dawai dalam daerah Kuala Muda di Kedah pada 30 Januari 1945. Tanjong Dawai adalah sebuah kampung nelayan dan mendiang ayah (Nai Siang) adalah seorang nelayan. Ibu saya (Mae Nu Wan)  adalah seorang suri rumah. Rumah saya adalah antara tiga atau empat keluarga Siam di kalangan masyarakat yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu. Keadaan hidup nelayan pada masa itu boleh diibaratkan sebagai kais pagi makan pagi. Ini ialah kerana menceduk rezeki dari laut itu tidak ada kepastiannya. Ada kala banyak tangkap dan ada juga hari-hari yang tidak ada ikan langsung. Namun berkat gaya hidup yang berjimat cermat, kehidupan kami sekeluarga adalah sederhana dan tidaklah seburuk sebagai tercengkam oleh kemiskinan.  Secara keluruhan, memori zaman kanak-kanak saya agak indah. Di rumah saya didendang oleh ibu bapa yang amat penyayang. Di luar, terdapat ramai kawan-kawan sebaya yang terdiri daripada budak-budak jiran Melayu dan kawan-kawan dari sekolah Cina. Kami sama-sama memancing ikan, menangkap ketam dan bermain di laut. Kami bermain wau dan gasing dan bermacam-macam lagi permainan. Berbeza dari zaman sekarang, barang mainan kami semuanya dibuat atau direka sendiri. Misalnya, Gasing dibuat dari batang pokok jambu batu dan rangka wau pula diperbuat daripada buluh dan dipelekat dengan kertas wau yang nipis.
 

2. Bagaimana pula...Na memupuk minat belajar dan cinta pada ilmu ketika kanak-kanak ka ? Siapakah yang mendorong atau idola Na untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan ?  

Daripada empat adik beradik dalam keluarga, saya seorang sahaja yang dihantar belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina.  Oleh kerana tidak ada sekolah menengah di kampung, saya terpaksa meneruskan pelajaran menengah di Sungai Petani selepas tamat Darjah 6. Walaupun beliau seorang nelayan, ayah amat mengambil berat terhadap pelajaran saya. Antara rutin harian saya ketika di sekolah rendah adalah saya diminta membaca buku bahasa Cina di depan beliau serta menjelaskan maksudnya. Beliau juga akan meneliti kerja-kerja sekolah walaupun ditulis dalam bahasa Cina. Bagi saya, ayah adalah pendorong utama yang mencetus minat saya untuk tekun belajar. Beliau sentiasa memberi dorongan dan memberi penekanan betapa pentingnya pendidikan dalam kehidupan sebagai satu papan lonjatan untuk memperbaiki hidup kita.  Ketika kanak-kanak dahulu, keadaannya serba kekurangan. Tidak banyak kemudahan-kemudahan seperti zaman ini. Misalnya, saya terpaksa belajar di bawah cahaya lampu minyak tanah. Saya juga terpaksa bersaing dengan anak-anak Cina dalam bahasa mereka sendiri. Namun,  semasa Darjah 5 & 6 dan di peingkat menengah, saya telah berjaya mewakili sekolah dalam pertandingan berpidato dalam bahasa Cina dan berjaya memenangi hadiah !  

 Saya berpendapat, latar belakang kita itu tidak penting. Andainya kita sanggup berusaha bersungguh-sungguh, kejayaan pasti akan menjadi milik kita....Satu lagi ialah keyakinan diri. Kita jangan mudah berputus asa. Ingatkan diri bahawa jika orang lain dan bangsa lain boleh mencapai kejayaan tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh mencapai kejayaan yang sama atau lebih cemerlang lagi. 
 

3. Na Sawai antara Konthai pertama yang dapat jawat jawatan Pengurus Besar dan juga membawa gelaran Datuk serta Profesor Anjung, memang saya kagum sekali, tetapi perjalanan menuju kejayaan bukan indah yang kita impikan....bolehkah Na ceritakan cabaran dan rintangan sehingga ke hari ini...dalam dunia pekerjaan  

Setalah tamat pengajian menengah dan lulus peperiksaan School Certificate (bersamaan dengan SPM sekarang), keutamaan saya pada masa itu ialah mencari kerja untuk meringankan beban ayah dan ibu. [Ayah kemudiannya telah meninggalkan riwayat sebagai seorang nelayan pantai dan pindah ke Kg Kalai, Jeniang, Kedah untuk memulakan hidup baru sebagai pekebun kecil getah.] Saya berjaya mendapat kerja sebagai Pegawai Kerani di Jabatan Audit, Alor Setar pada tahun 1964. Sambil saya bekerja, saya juga meneruskan pelajaran secara persendirian (pada zaman itu tidak ada kolej atau akademi swasta untuk kita sertai) dan berazam hendak mengambil peperiksaan Higher School Certificate (atau STPM sekarang). Selepas tiga tahun, cita-cita saya akhirnya membuahkan hasil. Dengan HSC, saya berjaya mendapat kerja yang lebih tinggi grednya iaitu sebagai Pegawai Kerja di Jabatan Telekom Alor Setar. Setelah bertugas selama tujuh bulan di Jabatan Telekom, saya berjaya mendapat jawatan  sebagai Jurubahasa Serentak di Parlimen Malaysia. Sekali lagi cita-cita hendak meneruskan pelajaran tercetus semula. Setelah tiga belas tahun bekerja sebagai Jurubahasa Serentak, saya mendaftar diri untuk Program Pengajian Luar Kampus USM dalam jurusan Ekonomi dan Sains Politik. Saya telah tamat pengajian program 6 tahun dan muncul sebagai graduan terbaik dalam jurusan Ekonomi dengan mendapat pingat emas dan Hadiah Buku USM. Saya juga dianugerahkan pingat oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai Graduan Terbaik Ekonomi dan ditawarkan jawatan Ahli Ekonomi Kanan. Setelah bertugas di Jabatan Ekonomi,  saya kemudiannya bertugas di Unit Perancangan Strategik dan Jaatan Komunikasi Korporat.  Selepas bersara dari BNM pada tahun 1990, saya mula bertugas sebagai Pengurus Besar, Komunikasi Korporat di Ibu Pejabat Jabatan Telekom selama 4 tahun dan seterus di Pusat Antarabangsa Kepimpinan Dalam Kewangan (di bawah BNM) sehingga sekarang. Pada masa yang sama, saya telah dilantik sebagai Felow Adjung dan kemudiannya sebagai Profesor Ajung, Fakulti Komunikasi dan Bahasa Moden, Universiti Utara Malaysia (UUM).  
 

4. Apa pula pegangan Na untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya dan juga kehidupan dalam keluarga ?  

Lazimnya kejayaan seseorang yang sudah berkeluarga bukan sahaja bergantung kepada keazaman dan usaha gigih peribadinya.  Ia juga banyak bergantung kepada sokongan, dorongan dan kefahaman keluarganya  iaitu oleh isteri dan anak-anak terhadap cita-citanya. Pengalaman saya ialah ketika saya bekerja sambil belajar dahulu, keluarga saya memang terpaksa banyak mengorbankan masa yang sepatutnya dapat kami luangkan bersama. Memang tidak mudah untuk membahagikan masa secara seimbang antara kerja, keluarga dan pelajaran. Itulah yang menjadi cabaran. Setelah saya melalui liku-liku sedemikian, falsafah saya sekarang ialah untuk mencari kesimbangan antara masa yang terluang untuk keluaraga dan kerjaya.    

5. Setelah kita ketahui latar belakang dan kerjaya Na... bagaimana pula personalti seorang BAPA kepada anak-anak dan Suami kepada isteri ? Adakah Na...BAPA yang tegas atau watak sebagai kawan-kawan kepada anak-anak ? 

Pendekatan saya ialah untuk mengimbangi peranan sebagai seorang ayah dan juga kawan kepada anak-anak. Sebagai seorang ayah, saya adalah tempat mereka berteduh, sebagai sumber mereka mencari bimbingan, tunjuk ajar  dan nasihat tentang pelajaran, kerjaya, kehidupan, agama, nilai-nilai murni, ehwal semasa, politik dan lain-lain. Sebagai kawan, saya berkongsi minat mereka dalam bidang-bidang tertentu seperi sukan, fesyen, makanan dan sebagainya serta sebagai tempat mereka meluahkan perasaan dan membuka isi hati. Begitu juga saya adalah seorang suami dan kawan kepada isteri yang amat saya sayangi.  Tujuannya ialah kita harus mencari kesefahaman, kasih sayang  dan saling hormat menghormati di antara suami dan isteri dan di antara ibu bapa dan anak-anak. 

6. Apakah petua mendidik dan mendorong anak-anak sehingga berjaya menjadi Doktor Perubatan Pertama di kalangan Konthai kita ?  

Saya mempunyai tiga orang anak. Anak sulung ialah anak perempuan yang kini bertugas sebagai peguam di sebuah syarikat asing. Anak kedua lelaki yang menjadi doktor perubatan di hospital kerajaan dan yang bongsu, anak perempuan yang masih belajar di Sydney, Australia. Saya dan isteri memang mengambil berat terhadap pendidikan anak-anak dan itu menjadi keutamaan yang amat tinggi bagi kami. Namun, apa yang telah mereka capai hari ini adalah hasil usaha mereka sendiri. Peranan kami berdua ialah memberi bimbingan, sokongan, nasihat  dan kadang kala teguran supaya mereka tidak terpesong dari matlamat yang mereka tujui.   
 

7. Sebagai bapa, adakah Na merancang kehidupan anak2 untuk mencapai kejayaan ? atau bapa yang ikut kehendak anak-anak berlandaskan minat masing-masing ? 

Anak-anak zaman ini mempunyai kecenderungan dan keutamaan mereka sendiri. Oleh itu, saya dan isteri tidak pernah menetapkan bidang yang mereka patut ceburi. Kami terlebih dahulu mendengar apakah aspirasi dan minat mereka. Dari situ, kami akan memberi pandangan dari perspektif orang yang lebih berpengalaman, membuat perbandingan, memberi pro dan kontra supaya mereka dapat lihat pilihan mereka itu dari sudut-sudut yang berlainan. Namun pada akhirnya, kami akan rela mengikut minat dan kecenderungan mereka. Begitulah kesnya dengan anak-anak saya yang menjadi peguam dan doktor.
 

8. Digelar "Mereka Yang Berjaya" di kalangan Konthai, sudah tentu ada yang anggap Na layak menjadi Senator Konthai yang seterusnya ? Apa pendapat Na tentang jawatan itu ? adakah Na minat? 

Saya tidak mahu menyatakan sama ada saya layak atau tidak untuk menyandang jawatan senator kerana perlantikannya setakat ini bergantung kepada pelbagai faktor, baik yang tersurat  mahupun yang tersirat. Secara umumnya mana-mana Khon Thai yang minat untuk membela nasib dan kepentingan Khon Thai dan yang rela mengorbankan masa, tenaga dan usaha demi memperbaiki kedudukan Khon Thai layak menyandang jawatan itu. Bahawa Kerajaan telah sudi mengkhaskan satu jawatan Senator untuk Khon Thai merupakan satu penghormatan dan pengiktirafan yang amat tinggi kepada Khon Thai yang menjadi warganegara Malaysia. Harapan kita ialah “Senator Siam’ itu akan terus dikekalkan supaya masyarakat kita ada suara dan wakil dalam forum tertinggi negara. Setakat mana senator itu berkesan juga bergantung kepada tahap keprihatinan beliau terhadap isu dan nasib Khon Thai dan juga samada beliau bersikap ‘consultative’ yakni sudi mendapat pandangan, saranan, pendapat dan input sebagai sumber untuk beliau ketengahkan kepada pihak Kerajaan. 

9. Jika boleh jadi Senator Konthai atau pemimpin yang disegani...apakah yang Na akan lakukan demi kemajuan KonThai ka ? Jika tidak...apakah usaha Na selepas bersara nanti ?  

 Walaupun Khon Thai sudah mencapai banyak kemajuan dalam pelbagai bidang berbanding dengan zaman baru merdeka dahulu, namun masih terdapat berbagai lagi isu dan masalah yang perlu dibawa kepada pihak Kerajaan. Antaranya termasuklah peluang-peluang pendidikan khususnya pendidikan universiti, hal-hal tanah, peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan, bantuan pengajaran Bahasa Thai di Wat, latihan kemahiran dan industri, soal budaya dan seni dan lain-lain lagi yang lazimnya dihadapi oleh masyarakat minoriti lain dalam negara. Namun harus diingat bahawa jika kita hanya bergantung kepada seorang Senator sahaja, besar kemungkinan beliau juga tidak mampu menangani segalanya. Kita sebagai anggota masyarakat Siam harus juga memainkan peranan masing-masing untuk membantu memperjuangkan nasib masyarakat kita sendiri. Dalam hal ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan rasa bangga saya kepada Ruam Thai yang mampu menganjurkan seminar bimbingan kepada adik-adik generasi pelapis. Saya difahamkan bahawa Ruam Thai juga berperanan sebagai satu network yang membantu anggota dalam peluang-peluang pekerjaan, merapatkan hubungan melalui aktiviti dan lain-lain lagi. Amalan ini harus diteruskan. Inilah yang saya maksudkan tentang peranan dan sumbangan kita kepada masyarakat sendiri.
 

10. Akhir sekali, saya ingin Na tafsirkan sejauhmanakah kejayaan KonThai kita sekarang ? dan dimanakah kelemahan Konthai dan bagaimana perlu diperbaikikan untuk masyarakat kita ?  

Jika dilihat secara keseluruhannya masih terdapat ruang untuk Khon Thai maju seperti kaum lain dalam setiap bidang. Walaupun kini, semakin ramai Khon Thai yang melibatkan diri dalam perbagai bidang, namun bilangannya masih kecil. Bagi saya salah satu cara untuk kita maju ialah melalui pendidikan. Pendidikan baik ilmiah, teknikal atau kemahiran boleh membantu sesuatu kaum memajukan diri. Jesteru itu, kita mahu melihat lebih ramai Khon Thai mendapat pendidikan tinggi. Kita juga mahu melihat lebih ramai orang-orang kita menceburi bidang-bidang lain seperti pembinaan, perniagaan, industri, pembuatan, ternakan, pertanian, pemasaran dan lain-lain. Walaupun kita perlu bermula dari peringkat asas. Saya mengakui bahawa proses ini akan memakan masa yang panjang, namun kita harus mengajak orang-orang kita melakukan satu anjakan minda dan memikir secara serius terhadap kemungkinan dan peluang-peluang yang tidak ada had dan batasan ini. Sekian, terima kasih. 

Gelaran, kekayaan dan kemajuan tidak akan menjadi kenyataan jika tiada nilai kasih sayang dan dorongan daripada keluarga untuk bersemangat meneruskan kehidupan sebagai insan yang disengani di kalangan masyarakat dan negara. Bagi mereka yang bakal membina keluarga, kemungkinan sifat beliau dapat dicontohi demi kebahagian keluarga dan kemajuan anak-anak pada masa depan.

Share